Monday, 25 August 2014







 GAGASAN PEMBENTUKAN MALAYSIA


Rasional Pembentukan Malaysia
Terlebih dahulu, sebelum membincangkan tentang sebab-sebab mengapa Brunei tidak menyertai Malaysia, adalah penting untuk kita memahami rasional di sebalik pembentukan Malaysia.Sebagaimana dengan kes Persekutuan TanahMelayu, pembentukan Malaysia adalah berdasarkan keanggotaan negeri-negeri dan wilayah-wilayah di rantau ini.Matlamat utamanya adalah untuk mewujudkan keselamatan.Sebagaimana kenyataan Stockwell (2003), pembentukan persekutuan bertujuan untuk mewujudkan keselamatan dan keamanan kepada sekumpulan wilayah yang sebahagiannya belum lagi wujud sebagai sebuah negeri. Idea untuk menyatukan Tanah Melayu, Singapura, Brunei Darussalam, Sabah dan Sarawak dalam satu kesatuan politik yang lebih besar adalah tidak popular bagi rejim pemerintah di Tanah Melayu. Masalah pertama yang ketara adalah sebuah kesatuan negara seperti ini adalah berbahaya secara politiknya atau tidak praktikal dalam tempoh perubahan politik tanah air.Tambahan lagi idea itu ditentang oleh pihak komunis. Kedua, rancangan awal untuk menyatukan negeri-negeri Melayu di bawah satu entiti telah diperjuangkan oleh ahli politik Melayu yang pada awalnya merujuk kepada idea 'Keserantauan Melayu yang lebih besar', ditafsirkan sebagai satu empayar Melayu terdiri daripada semua kaum berketurunan Melayu dan bermodelkan kepada republik Indonesia, yang akan mungkin menjadi pusat pemerintahannya. Walaubagaimanapun, gerakan-gerakan awal ini tidak meraih populariti berbanding parti Perikatan dalam politik tanah air. Sebab ketiga adalah keadaan politik yang tidak stabil di Singapura dan ketakutan yang penduduk Cina Singapura akan bergabung dengan penduduk Cina di Tanah Melayu seterusnya mengganggu gugat keseimbangan kaum.
Bagaimanapun, pada bulan Mei 1961, Britain dan Tanah Melayu telah mencadangkan sebuah persekutuan Malaysia, yang mana dari perspektif keselamatan, orang-orang Melayu sebagai kaum yang rapuh akan terus berkuasa dengan cara mewujudkan keseimbangan antara orang Cina di Singapura dengan kaum-kaum yang berbeza di Borneo. Walaupun wujud kebimbangan akan kemungkinan Singapura merdeka dan dikawal oleh komunis, sudah tentu sukar mewujudkan sebuah kesatuan negara yang terhad lantaran lahirnya ketidakseimbangan kaum dan politik di Tanah Melayu. Bagaimanapun, dengan membawa negeri-negeri jajahan British di Borneo ke dalam kesatuan, satu nisbah kaum yang agak menyerupai Tanah Melayu boleh dikekalkan.Jumlah orang-orang Melayu yang besar di Borneo adalah satu sebab mengapa negeri-negeri Borneo penting sebagai pengimbang kepada majoriti Cina di Singapura.Tambahan kepada masalah-masalah berkaitan kaum, pembentukan Tanah Melayu dan kemudian Malaysia, adalah bertujuan untuk menjamin pertahanan dan pengurusan keselamatan yang berkesan.Di bawah persetujuan mewujudkan Persekutuan Tanah Melayu, kerajaan British mempunyai kuasa penuh atas perkara-perkara berkaitan pertahanan. Skim pertahanan pan-Malaya diubah ke sebuah badan baru iaitu Majlis Pertahanan Tanah Melayu-Borneo.
Adalah penting untuk diperhatikan di sini yang pembentukan satu bentuk persekutuan baru di tempat dimana sistem persekutuan telah wujud iaitu Persekutuan Tanah Melayu, adalah satu tugas yang perlu disegerakan disebabkan oleh ancaman-ancaman berterusan daripada pergerakan komunis di rantau ini.Kerajaan British telah mula memikirkan tentang masalah ini sejak penubuhan Persekutuan Tanah Melayu.Setelah berakhirnya Darurat, lebih banyak usaha yang serius dibuat untuk menghadapi ancaman komunis di rantau ini. Ini dapat dilihat daripada peningkatan dalam hubungan komunikasi antara Britain dan Tanah Melayu, dan kewujudan jawatankuasa yang bertemakan ‘The Grand Design’ and ‘Greater Malaysia’ atau 'Tujuan mulia' dan ' Malaysia yang Lebih besar '.Oleh kerana perikatan telah memenangi pilihan raya Tanah Melayu yang pertama pada tahun 1955 dan parti politik pembangkang telah lemah, kerajaan British lebih terdorong untuk mewujudkan persekutuan baru untuk menghadapi komunis. Menurut Malcolm MacDonald, Gabenor Jeneral dan kemudiannya Pesuruhjaya atau Commissioner-General British di Asia Tenggara menjelaskan bahawa dengan pelan seperti ini, satu bentuk pentadbiran tersendiri oleh British dapat dilaksanakan di Asia Tengggara atau 'Dominion kerajaan British di Asia Tenggara' akan terhasil.




Faktor pembentukan
I) Politik

  1.    Mempercepatkan kemerdekaan bagi Sabah,Sarawak,Brunei dan Singapura.
  2.  Membanteras ancaman komunis dan mengekalkan keamanan dan kestabilan.
  3.  Mewujudkan keseimbangan kaum dan perpaduan/menjaga kepentingan hak kaum   Bumiputera.



(II) Ekonomi

  1. Memajukan ekonomi serantau untuk kepentingan negara dan rakyat negeri-negeri anggota.
  2. Kepentingan pelaburan Inggeris di A.T melalui keselamatan dan kestabilan politik.
 (III) Sosial

  1. Memupuk bangsa Malaysia dengan identiti yang baru berteraskan perkongsian warisan budaya yang kaya.
  2. Membela masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak.




Reaksi Negeri-Negeri Yang Terlibat Dalam Gagasan Pembentukan Persekutuan Malaysia

Persekutuan Tanah Melayu
Cadangan gagasan ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada parti-parti politik  di negeri-negeri Melayu. Penduduk Tanah Melayu secara umumnya menerima  prinsip gagasan Persekutuan Malaysia  walaupun  terdapat perbezaan pendapat tentang cara pelaksanaannya. Sebagai contoh, parti PAS  menyokong idea pembentukan Persekutuan Malaysia tetapi juga mencadangkan pembentukan Melayu Rayayang merangkumi Indonesia. Pelajar-pelajar juga turut menyokong pembentukan Persekutun Malaysia
 Singapura
Lee Kuan Yew selaku Ketua Menteri Singapura menyokong gagasan Malaysia ini kerana Parti Tindakan Rakyat (PETIR) dapat meneruskan kekuasaannya di Singapura, ancaman komunis dapat dikawal, perkembangan ekonomi Singapura menjadi lebih pesat dan Singapura boleh mendapatkan kemerdekaan dengan lebih awal.Namun demikian, Barisan Sosialis dan Parti Buruh menentang gagasan ini. Pada 1 September 1962, Lee Kuan Yew telah mengadakan satu pungutan suara bagi mendapatkan persetujuan rakyat Singapura mengenai penyertaan Singapura dalam Malaysia. Mengikut keputusan itu, 71.1% daripada rakyat Singapura menyokong penubuhan Malaysia. Melalui gagasan Malaysia, taraf pelabuhan bebasnya dikekalkan, Singapura mempunyai kuasa autonomi dalam bidang kewangan, pendidikan dan perburuhan dan Singapura akan mendapat 15 kerusi dalam Parlimen Malaysia.

Sabah dan Sarawak

Pemimpin di kedua-dua negeri ini agak terperanjat dengan penubuhan Malaysia.Pemimpin-pemimpin di kedua-dua negeri ini telah membentuk Barisan Bersatu pada 9 Julai 1961 bagi menentang gagasan Malaysia. Pemimpin-pemimpin itu termasuk Ong Kee Hui (Pengerusi SUPP), Temenggung Jugah Anak Berieng (Yang Dipertua Parti Negara Sarawak – PANAS), Dato’ Mustapha bin Dato’ Harun dan Donald Stephen (ahli tak rasmi Majlis Undangan Sabah). Mereka menentang gagasan kerana takut Sabah dan Sarawak akan dikuasai oleh Tanah Melayu. Mereka takut kedudukan politik mereka terjejas. Mereka juga bimbang keperibadian negeri masing-masing akan hilang. Golongan peniaga Cina pula bimbang kuasa ekonomi akan dirampas oleh Tanah Melayu dan Singapura. Selain itu, mereka juga berpendapat Sabah dan Sarawak perlu diberi kemerdekaan dahulu sebelum menyertai Malaysia.Kaum bumiputera bukan Islam turut menentang gagasan Malaysia.Bantahan mereka disuarakan melalui Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (UNKO) dan sebagainya.Pemimpin di kesua-dua negeri menganggap gagasan Malaysia merupakan satu helah untuk meluaskan kuasa Tanah Melayu dan menggantikan penjajahan British. Pada bulan Jun 1961, Tunku Abdul Rahman berangkat ke Sabah dan Sarawak dan mendapati rakyat di sana telah salah faham mengenai gagasan Malaysia. Oleh itu, sebuah persidangan Persatuan Parlimen Komanwel diadakan di Singapura pada Julai 1961.Beberapa orang daripada Barisan Bersatu telah dihantar oleh British ke persidangan ini.Mereka membincangkan tentang gagasan Malaysia.Akhirnya, Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM) ditubuhkan untuk mengumpulkan pendapat Sabah dan Sarawak mengenai gagasan ini.Pada bulan Ogos 1961, Abang Haji Mustapha (Pengerusi PANAS) menyokong gagasan Malaysia.Kemudian, Donald Stephen dan Dato’ Mustapha turut menyokong gagasan ini selepas melawat ke Tanah Melayu dan berunding dengan Tunku Abdul Rahman.

Reaksi Brunei

Pada mulanya, gagasan  Malaysia ini mendapat sokongan kuat daripada Sultan Omar Ali Saifuddin. Namun penentangan wujud daripada Parti Rakyat Brunei yang dipimpin oleh A.M Azahari. Alasan penentangan A.M Azahari ialah beliau menganggap Brunei akan menjadi tanah jajahan sekiranya menyertai Persekutuan Malaysia. A.M Azahari mencadangkan penubuhan kerajaan Kalimantan Utara. Parti Rakyat Brunei melancarkan pemberontakan  apabila usul yang dibawa di Majlis Undangan Negeri Brunei ditolak. Rundingan masih diteruskan hingga ke saat-saat akhir pembentukan Malaysia namun tiada kesepakatan dalam rundingan berkaitan terutamanya perkara yang berkaitan dengan hasil minyak dan kekananan sultan Brunei dalam pelantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong tidak diselesaikan. Pada bulan Julai 1963, Brunei menarik diri daripada menyertai Persekutuan Malaysia.

SEBAB MENGAPA BRUNEI TIDAK MENYERTAI MALAYSIA

Brunei Dan Gagasan Malaysia

Pada 31 ogos 1957,Persekutuan Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan.Tunku Abdul Rahman telah mencadangkan kepada pihak British agar Sabah,Sarawak dan Brunei digabungkan dengan Persekutuan Tanah Melayu menjadi Malaysia. Namun telah dibantah oleh pihak British kerana Singapura tidak terlibat sama.Ini turut dipersetujui oleh Ketua Menteri Singapura,Lee Kuan Yew agar Singapura turut bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu.Tunku Abdul Rahman tidak bersetuju tetapi memandangkan senario politik di Singapura telah mengubah pendirian beliau. Pada 27 Mei 1961, Persidangan Wartawan-wartawan Luar Negeri di Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura mencadangkan supaya Brunei, Sabah, Sarawak dan Singapura digabungkan dengan Tanah Melayu membentuk Persekutuan Malaysia. Cadangan ini menimbulkan pelbagai reaksi. Dalam usaha membentuk Persekutuan Malaysia,Tunku Abdul Rahman telah melakukan kunjungan ke Brunei pada pertengahan 1961. Ekoran daripada itu,sebagai persediaan Sultan Brunei telah menubuhkan satu suruhanjaya tinjauan untuk menentukan pendirian sebenar rakyat Brunei. Sultan Brunei iaitu Sultan Omar Ali Saifudin pada dasarnya menyokong gagasan ini tetapi Parti Rakyat Brunei (PRB) yang dipimpin oleh A.M. Azahari menentangnya. A.M. Azahari menentang gagasan ini kerana menurutnya, Brunei akan menjadi jajahan Malaysia. Beliau mahukan Brunei merdeka dahulu sebelum menyertai Malaysia. Beliau juga telah merancang untuk menggabungkan Brunei, Sabah dan Sarawak menjadi Persekutuan Borneo Utara di bawah pimpinan Sultan Brunei. PRB menang dalam pilihanraya Majlis Daerah dan Majlis Undangan yang diadakan pada Ogos dan September 1962. Kemenangan ini menyakinkan Azahari bahawa rakyat Brunei turut menentang gagasan Malaysia. Selain itu, Azahari juga merasakan dirinya kuat kerana Filipina dan Indonesia menyokongnya. Dengan keyakinan bahawa gagasan ini akan gagal, PRB melancarkan pemberontakan bersenjata pada 7 Disember 1962. Pemberontakannya ditumpaskan oleh Kerajaan Brunei dengan bantuan tentera dari British dan Tanah Melayu. Azahari melarikan diri ke Filipina dan mengisytiharkan dirinya sebagai Perdana Menteri dan Sultan Omar Ali Saifudin sebagai Ketua Kerajaan Persekutuan Borneo Utara. Walaupun pada mulanya Sultan Brunei menyokong gagasan ini tetapi baginda telah menarik diri pada Julai 1963. Adalah jelas bahawa Brunei telah mula menghadapi krisis dalaman akibat munculnya idea Malaysia yang dicadangkan oleh Tengku Abd Rahman, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu tahun 1961 dan Parti Rakyat Brunei yang ditubuhkan tahun 1956 oleh A.M. Azahari yang mempunyai agenda tersendiri untuk menuntut kuasa daripada British dengan objektif yang berbeza .

Punca-PuncaMengapa  Brunei Tidak Menyertai Malaysia

Brunei Darussalam merupakan sebuah negara yang terletak di Kepulauan Borneo, sperti juga negeri Sabah dan Sarawak yang telah menyertai Malaysia pada 1963.Seperti yang dinyatakan sebelumnya, Brunei hampir-hampir menyertai Malaysia, tapi beberapa faktor telah menyebabkan Sultan Omar Ali Saifuddin membatalkan hasrat untuk menyertai Malaysia. Antaranya, ialah kerana isu-isu dan faktor-faktor yang berikut:

Sultan Brunei iaitu Sultan Omar Ali Saifudin menyokong gagasan ini namun telah ditolak oleh Parti Rakyat Brunei (PRB) yang dipimpin oleh A.M.Azhari. Penentangan ini dibuat kerana beliau berpendapat Brunei mestilah mendapat kemerdekaan terlebih dahulu sebelum bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu.Ditambah lagi, beliau tidak mahu Brunei menjadi jajahan Malaysia. A.M. Azahari juga yakin bahawa Indonesia dan Filipina akan menyokong pendirian beliau. Penentangan ini telah membantutkan usaha Brunei untuk menyertai Malaysia.

Pada peringkat awal, Sultan Brunei bersetuju menyertai gagasan tersebut,akan tetapi telah menolak cadangan itu kerana baginda tidak bersetuju untuk membayar cukai hasil pengeluaran minyak kepada kerajaan pusat dan baginda juga tidak berpuas hati kerana tidak diberi keistimewaan kedudukan dalam majlis raja-raja. Ini diperkuatkan lagi dengan alasan keengganan rakyatnya untuk tidak menyertai Malaysia.

Sulatan Brunei tidak mahu membayar cukai hasil daripada pengeluaran minyaknya kepada kerajaan pusat Malaysia dalam tempoh 10 tahun. Selain itu, baginda juga tidak berpuas hati kerana diberi kedudukan yang paling rendah dalam senarai nama Sultan-sultan. Tambahan pula, rakyat Brunei juga tidak bersetuju menyertai Malaysia.

Keghairahan awal Sultan Brunei untuk menyertai Malaysia anehnya tidak berkesudahan apabila Sultan Omar Ali Sarifuddin membatalkan rancangan untuk menyertai Malaysia. Perubahan itu berlaku kerana Sultan Brunei kecewa sebab ada di antara tuntutan dan syarat baginda tidak dipenuhi. Antara tuntutan tersebut ialah:

1.Sekurang-kurangnya Brunei mendapat 10 kerusi  di Parlimen.
2.Hasil minyak adalah dibawah penguasaan Brunei.
3.Brunei juga diberi memegang autonomi kewangan.
4.Semua pelaburannya hendaklah dikekalkan.
5.Kadar cukai yang rendah dikekalkan.
6.Program pendidikan dan kebajikannya diteruskan.
7.Jaminan keselamatan keatas Brunei terjamin.
8.Sultan Brunei juga inginkan kedudukan yang lebih tinggi dalam senarai yang akan menjadi Yang DiPertuan Agong.

Berdasarkan isu-isu dan faktor-faktor yang disebutkan diatas, saya berpendapat bahawa sebab utama mengapa Brunei tidak menyertai Malaysia pada tahuin 1963, ialah kerana gagasan Malaysia yang diterajui oleh Tunku Abdul Rahman telah gagal untuk memenuhi beberapa tuntutan yang dikemukakan oleh Sultan Brunei. Saya melihat faktor minyak dan juga faktor kedudukan atau kekananan Sultan sebagai faktor utama yang menyebabkan Brunei tidak menyertai Malaysia. Namun demikian, pada pendapat saya, Sultan Brunei sebenarnya telah mengambil keputusan yang terbaik bagi dirinya dan juga rakyat Brunei amnya dengan tidak menyertai gagasan Malaysia.